Jenis air dan bahagian air
  • Save

Jenis air dan air kolah

Apakah jenis air dan air kolah?

Air yang sah dibuat bersuci adalah air hujan, laut, perigi, sungai, mata air, salji dan air embun. Semua air tersebut tergolong dalam dua kategori, iaitu air yang turun daripada langit dan air yang keluar daripada bumi. Sekarang ini air disalurkan melalui paip sampai ke rumah kita. Ia bersumber salah satu daripada air-air tersebut di atas.

 

1. Bahagian Air:

Para ulamak membahagikan air kepada empat

bahagian:

 

i. Air Mutlak

Iaitu air yang turun dari langit atau air yang keluar dari bumi dalam keadaan sifat asal kejadiannya. Air yang tersebut dinamakan air mutlak (air semata-mata bersih) ia daripada sumber alam yang tiada bercampur dengan sesuatu yang lain. Hukum air itu suci dan menyucikan. Air yang bukan turun dari langit atau tidak keluar dari bumi antaranya air tebu, air kelapa adalah bukan air mutlak.

 

ii. Air Musyammas:


Iaitu air yang terjemur pada cahaya matahari dalam bekas yang boleh berkarat seperti besi dan tembaga, digunakan pada badan ketika masih panas seperti digunakan untuk bersuci dan diminum, hukumnya adalah makruh. Hilang makruhnya (tidak makruh) jika mencuci pakaian dan lain-lain atau sudah hilang panasnya. Air yang dipanaskan oleh cahaya matahari di dalam kolam tidak termasuk air musyammas. Air musyammas dihukum makruh kerana jika digunakan boleh membawa penyakit sopak.

 

iii. Air Musta’mal:


Iaitu air yang kurang daripada dua kolah dan telah di guna untuk bersuci yang wajib bagi basuhan pertama ketika mengambil wudhu dan basuhan pertama bagi mandi wajib, dan air itu tidak berubah. Tidak sah air itu digunakan untuk wudhu’, mengangkat hadas besar (mandi wajib) dan menyucikan najis.

Air musta’mal jika dikumpulkan hingga melebihi dua kolah maka hukumnya kembali suci dan menyucikan. Air yang telah digunakan pada basuhan kedua dan ketiga ketika wudhu’ dan mandijunub hukumnya air itu suci dan mcnyucikan bukan air musta’mal kerana hadas telah terangkat oleh basuhan pertama, basuhan kedua dan ketiga adalah sunat sahaja.

 

iv. Air Mutanajjis:


iaitu air kurang dari dua kolah terjatuh najis ke dalamnya, walaupun air itu tidak berubah rasa, warna dan baunya. Hukum air itu tidak suci dan tidak menyucikan. Adapun air yang cukup dua kolah atau lebih, apabila termasuk najis ke dalamnya jika berubah rasanya, atau warnanya atau baunya maka air itu tidak suci dan tidak menyucikan juga.

Air yang termasuk ke dalamnya bangkai yang tidak mengalir darahnya ketika ia mati seperti lalat, lipas, semut,cicak, hukum air itu masih suci lagi menyucikan kerana bangkai yang demikian bukan najis. Kecuali bangkai itu mengubah sifat air seperti bau, rasa dan warnanya.

2.Sukatan Air Dua Kolah

a. Air banyak bererti air yang terkumpul sebanyak dua kolah atau lebih, dan air sedikit iaitu air yang terkumpul kurang daripada dua kolah.

 

b. Air yang lebih dua kolah tidak jadi najis jika masuk najis ke dalamnya, melainkan jika berubah bau, rasa dan warna.

 

c. Air dua kolah diketahui dengan sukatan berikut:

 

i. Dengan tin minyak tanah iaitu 13 tin penuh.

 

ii. Dengan timbangan 230 liter.

 

iii. Ukuran tempat atau bekas yang cukup dua kolah.

Jika bekas itu bulat tingginya 2 stengah hasta (115 cm) dan ukuran lintang mukanya satu hasta (46 cm).

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

0 Shares
Share via
Copy link
Powered by Social Snap