benarkah kulit khinzir boleh dipakai
  • Save

Benarkah Kulit Khinzir Boleh Dipakai?

Apakah…

Benarkah Kulit Khinzir Boleh Dipakai?

Allah ﷻ berfirman dalam al-Quran:

إِنَّمَا حَرَّمَ عَلَيْكُمُ الْمَيْتَةَ وَالدَّمَ وَلَحْمَ الْخِنزِيرِ وَمَا أُهِلَّ بِهِ لِغَيْرِ اللَّهِ ۖ فَمَنِ اضْطُرَّ غَيْرَ بَاغٍ وَلَا عَادٍ فَلَا إِثْمَ عَلَيْهِ ۚ إِنَّ اللَّهَ غَفُورٌ رَّحِيمٌ

Maksudnya: Sesungguhnya Allah hanya mengharamkan kepada kamu memakan bangkai, dan darah, dan daging babi, dan binatang-binatang yang disembelih tidak kerana Allah maka sesiapa terpaksa (memakannya kerana darurat) sedang ia tidak mengingininya dan tidak pula melampaui batas (pada kadar benda yang dimakan itu), maka tidaklah ia berdosa. Sesungguhnya Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.

(Surah al-Baqarah 2:173)

Berkata Imam Jalaluddin al-Suyuti dalam kitab tafsirnya tentang pengharaman khinzir: “Syarak menyebut daging secara khusus kerana itulah subjek yang lebih banyak dan ketara sedangkan bahagian-bahagian lain itu hukumnya mengikut hukum daging itu.”

Rujuk Tafsir al-Jalalayn (hlm. 35)

Imam al-Nawawi juga menukilkan ijma’ pengharaman memakan sebarang bahagian daripada khinzir: “Telah berijma` umat Islam ke atas pengharaman lemak, darah dan setiap bahagian khinzir.”

Rujuk al-Majmu` Syarh al-Muhadzdzab (9/5(

Ini menunjukkan pengharaman memakan khinzir bukan hanya pada daging sahaja, tetapi juga pada tulang, lemak dan kulitnya.

Adakah boleh mengambil kulitnya untuk dipakai? Berikut kami nyatakan perkataan para ulama tentang perkara ini:

1) Mazhab Maliki : Kulit khinzir adalah najis apabila ia mati dan tidak boleh disucikan dengan samak mengikut pendapat yang masyhur. Adapun pendapat yang berlawanan dengan masyhur seperti pendapat Imam Abd al-Mun`im bin al-Faras menyatakan kulit khinzir sama seperti kulit lain pada boleh menggunakannya apabila disamak. Rujuk Hasyiah al-Dusuki (1/54).

2) Mazhab Hanafi : Kulit khinzir adalah najis dan tidak boleh disamak mengikut riwayat yang zahir. Terdapat satu riwayat daripada Imam Abu Yusuf bahawa boleh disamak kulit khinzir dan menjadi suci. Rujuk al-Mabsut (1/202) oleh Imam al-Sarakhsi.

3) Mazhab Syafie : Kulit khinzir najis adalah najis ketika hidup, manakala apabila mati maka itu lebih utama kenajisannya kerana bangkai. Justeru tidak boleh dijadikan pakaian melainkan dalam keadaan darurat. Rujuk al-Majmu` (1/221) oleh Imam al-Nawawi.

4) Mazhab Hanbali : Semua jenis kulit bangkai adalah najis dan tidak boleh disucikan termasuklah kulit khinzir. Satu riwayat Imam Ahmad menyatakan boleh disucikan kulit bangkai haiwan yang sewaktu hidupnya adalah haiwan yang halal. Rujuk al-Mughni (1/49) oleh Imam Ibn al-Qudamah.

Berdasarkan kenyataan di atas, kita mengetahui bahawa empat mazhab muktabar menganggap kulit khinzir itu adalah najis yang tidak boleh diambil manfaat, melainkan terdapat hajat dan darurat, bukan waktu kebiasaan. Rujuk al-Mausu`ah al-Fiqhiyah al-Kuwaitiyyah (20/34). Oleh itu, pendapat demikian tidak boleh dikatakan sebagai pendapat yang pelik kerana ia merupakan kesepakatan empat mazhab.

Suka untuk kami nyatakan di sini bahawa kenyataan sebegini memerlukan penjelasan yang tuntas. Ini kerana ia memberikan kemungkinan bahawa umat islam dibenarkan menternak khinzir atau melibatkan diri secara langsung atau tidak langsung dalam perniagaan melibatkan khinzir, untuk mendapatkan kulitnya bagi tujuan pemakaian. Sedangkan hukum menternak dan menjual khinzir adalah haram. Rujuk al-Mausu`ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah (6/43). Produk-produk yang berasaskan kulit khinzir hari ini adalah berdasarkan industri khusus penternakan dan pemprosesan khinzir dan bukan berdasarkan perburuan dan temuan di tepi jalan. Firman Allah Ta’ala:

وَتَعَاوَنُوا عَلَى الْبِرِّ وَالتَّقْوَىٰ ۖ وَلَا تَعَاوَنُوا عَلَى الْإِثْمِ وَالْعُدْوَانِ

Maksudnya: Dan hendaklah kamu bertolong-tolongan untuk membuat kebajikan dan bertaqwa, dan janganlah kamu bertolong-tolongan pada melakukan dosa (maksiat) dan pencerobohan.

(Surah al-Maidah: 2)

Ini berdasarkan sabda Rasulullah ﷺ, daripada Abu Mas`ud al-Ansori RA:

أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ نَهَى عَنْ ثَمَنِ الكَلْبِ، وَمَهْرِ البَغِيِّ، وَحُلْوَانِ الكَاهِنِ

Maksudnya: “Bahawa sesungguhnya Rasulullah ﷺ melarang daripada hasil jualan anjing, mahar (bayaran upah) pelacur, dan upah kahin (pawang yang menilik masa depan).”

Riwayat al-Bukhari (no.2237)

Kata Imam al-Syafie dalam al-Hawi al-Kabir (13/390) yang dinukilkan oleh Imam al-Mawardi : “Allah Ta`ala tidak mengharamkan suatu benda melainkan dia mencukupkan (manusia) dengan penggantinya daripada jenis yang diharuskan. Maka sesungguhnya Dia mengharamkan zina tetapi mengharuskan nikah, mengharamkan daging khinzir tetapi mengharuskan daging unta, mengharamkan sutera (untuk lelaki) tetapi mengharuskan bulu biri-biri dan kapas.”

Kami menasihatkan penceramah berkenaan, dan individu-individu lain agar menghormati kedudukan ulama yang muktabar dengan mengiktiraf pendapat mereka khususnya pendapat Jumhur ulama. Ini selaras dengan Kaedah 26 dalam Kaedah-Kaedah Pentadbiran Undang-Undang Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) (Tauliah Mengajar Agama Islam) 2006 menyebut:

Tiap-tiap pengajar yang telah diberikan tauliah mengajar di bawah kaedah 25 hendaklah, dalam melaksanakan tugasnya, tertakluk kepada syarat-syarat yang berikut: (c) tidak menghina perkara khilafiah yang terdapat dalam empat mazhab yang muktabar dan yang tidak tak selaras dengan ajaran Ahli Sunnah Wal Jamaah;

Kegagalan mematuhi etika ini, Kaedah 25 memperuntukkan bahawa pihak Jawatankuasa Pengawasan Pengajaran Agama Wilayah Persekutuan di bawah Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan boleh membatalkan tauliah mengajar jika terdapat apa-apa pelanggaran syarat yang ditetapkan di bawah Kaedah 26.

Post by: Rahmat Rahman

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

0 Shares
Share via
Copy link
Powered by Social Snap