PERKARA ASAS DI DALAM ILMU AQIDAH ISLAM YANG WAJIB
  • Save

PERKARA ASAS DI DALAM ILMU AQIDAH ISLAM YANG WAJIB KITA

PERKARA ASAS DI DALAM ILMU AQIDAH ISLAM YANG WAJIB KITA BELAJAR & KETAHUI.

Setiap umat Islam mesti mengetahui rukun Iman dan tuntutannya. Rukun Iman terdapat enam perkara:

1) Percaya kepada Allah S.W.T
2) Percaya kepada Malaikat
3) Percaya kepada Kitab-kitab
4) Percaya kepada Rasul-Rasul
5) Percaya kepada Hari Akhirat
6) Percaya kepada Qadha dan Qadar

PERCAYA KEPADA ALLAH:

Percaya di sini bererti percaya kepada kehebatan dan kekuasaan Allah dalam mentadbir alam semesta ini. Pada Allah sekurang-kurangnya mempunyai dua puluh sifat yang selayaknya sebagai Tuhan.

Dua puluh sifat itu ialah:

1. WUJUD ertinya ada
2. QIDAM ertinya sedia
3. BAQA’ ertinya kekal
4. MUQALAFATUHU LIL-HAWADIS ertinya bersalahan dengan segala yang baharu
5. QIYAMUHU BINAFSIH ertinya berdirinya dengan sendirinya
6. WAHDANIAT ertinya esa
7. QUDRAT ertinya berkuasa
8. IRADAT ertinya berkendak
9. ILMU ertinya berilmu (mengetahui)
10. HAIYAT ertinya hidup
11. SAMA’ ertinya mendengar
12. BASAR ertinya melihat
13. KALAM ertinya berkata-kata (Pekata)
14. KAUNUHU QADIRAN ertinya berkeadaan berkuasa
15. KAUNUHU MURIDAN ertinya berkeadaan berkehendak
16. KAUNUHU ALIMAN ertinya berkeadaan mengetahui
17. KAUNUHU HAYYAN ertinya berkeadaan hidup
18. KAUNUHU SAMIAN ertinya berkeadaan mendengar
19. KAUNUHU BASIRAN ertinya berkeadaan melihat
20. KAUNUHU MUTAKALLIMAN ertinya berkeadaan berkata-kata.

Mereka yang beriman dengan sifat Allah yang dua puluh ini akan sentiasa merasa dirinya hina, lemah, malu dan takut kepada Allah. Takut hendak melakukan sebarang larangan Allah sama ada yang kecil mahupun yang besar.

Kita juga mesti percaya bahawa mustahillah Allah (tak patut ada) sifat berikut ini:

1. ‘ADAM ertinya tiada
2. HUDUS ertinya baharu
3. FANA’ ertinya binasa
4. MUMASALATUHU LIL-HAWADIS ertinya menyamai yang baharu
5. IHTIYAJUHU ILAL-MAHAL ertinya berhajat kepada tempat pergantungan
6. TA’ADDUD ertinya berbilang-bilang
7. ‘AJZU ertinya lemah
8. KARAHAH ertinya paksaan
9. JAHIL ertinya bodoh
10. MAUT ertinya mati
11. SOMMU ertinya (tuli) pekak
12. UMYU ertinya buta
13. BUKMU ertinya bisu
14. KAUNUHU AJIZAN ertinya berkeadaan lemah
15. KAUNUHU KARIHAN ertinya berkeadaan terpaksa
16. KAUNUHU JAHILAN ertinya berkeadaan bodoh
17. KAUNUHU MAITAN ertinya berkeadaan mati
18. KAUNUHU ASAMMA ertinya berkeadaan tuli
19. KAUNUHU A’AMA ertinya berkeadaan buta
20. KAUNUHU ABKAMA ertinya berkeadaan bisu.

Mereka yang benar-benar beriman dengan sifat ini sebagai mustahil ada pada Allah taala akan menjadikan dia bertambah rasa gerun dan takut kepada Allah. Sebagai contoh, kita beriman Allah mesti bersifat mendengar dan mustahil bersifat tuli tentu kita akan berhati-hati ketika bercakap kerana Allah mendengar apa yang kita ucapkan. Kalau begitu mereka tidak akan mengumpat apalagi memfitnah. Sebaliknya mereka yang masih mengumpat dan memfitnah bermakna mereka belum benar-benar beriman dengan Allah.

Kita wajib juga meyakini bahawa harus pada Allah untuk melakukan sesuatu atau tidak melakukannya terhadap makhluknya.

PERCAYA KEPADA MALAIKAT:

Malaikat adalah makhluk Allah seperti kita juga, cuma penciptaannya tidak sama. Malaikat diciptakan daripada cahaya sedangkan kita diciptakan asalnya daripada tanah. Malaikat, Allah ciptakan mereka untuk ditugaskan mentadbir kerajaan Allah. Kerajaan Allah sungguh luas merangkumi kerajaan langit, kerajaan bumi, kerajaan dunia dan kerajaan Akhirat. Sekurang-kurangnya ada sepuluh jenis malaikat mengetuai setiap jabatan yang ditugaskan kepada mereka. Di setiap jabatan itu terdapat pula berjuta-juta malaikat. Mereka sentiasa bertugas dengan baik dan beramanah.

Mereka bertugas dua puluh empat jam tanpa rehat. Mereka tidak tidur dan tidak makan dan merekalah makhluk Allah yang paling taat. Mereka ada yang bertugas untuk menyalurkan rezeki kepada manusia dan makhluk lain. Ada juga yang bertugas menyalurkan nyawa kepada makhluk di dunia dan ada juga yang bertugas di dalam kubur dan sebagainya. Kewujudan mereka, patut kita berterima kasih kerana khidmat kepada kita yang terlalu banyak. Dalam masa yang sama kita patut merasa bimbang dan berjaga-jaga kerana ada pula malaikat yang ditugaskan seperti mata-mata gelap kerajaan Allah.

PERCAYA KEPADA KITAB-KITAB:

Umat Islam malah seluruh manusia di dunia patut percaya bahawa Allah telah menurunkan sekurang-kurangnya empat buah kitab sebagai panduan hidup umat manusia di setiap zaman. Kitab itu diturunkan sesuai dengan keperluan masyarakat di zaman itu. Kandungan kitab itu mempunyai dua bahagian; aqidah dan ibadah. Persoalan aqidah boleh dikatakan semuanya sama sedangkan persoalan ibadah yang merangkumi peraturan hidup ada sedikit perbezaan di antara satu sama lain. Kitab-kitab tersebut kecuali Al-Quran semua berperanan untuk sesuatu kaum sahaja:

1. Kitab Zabur untuk kaum Nabi Daud
2. Kitab Taurat untuk kaum Nabi Musa
3. Kitab Injil untuk kaum Nabi Isa.

Sedangkan Al Quran peranannya untuk semua kaum di seluruh dunia ini. Al-Quran adalah kitab penutup sebagai pelengkap mana-mana peraturan yang lalu, ertinya peraturan itu telah dikemaskinikan di dalam Al-Quran. Oleh kerana itu, kedatangan Al-Quran secara tidak langsung memansuhkan peranan kitab-kitab sebelumnya.

PERCAYA KEPADA RASUL-RASUL:

Umat Islam mesti percaya kepada para rasul. Rasul bererti utusan atau pesuruh. Allah mengutuskan para rasul kepada manusia untuk membimbing mereka agar mempercayai dan menyembah Allah sebagai Tuhan yang sebenar. Rasul juga ditugaskan untuk membetulkan peranan manusia di dunia ini. Ada dua tugas utama manusia di dunia iaitu:

1. Mengabdikan diri kepada Allah dan
2. Menjadi khalifah di dunia ini.

Rasul yang diutuskan terlalu ramai, cuma yang disebutkan di dalam Al-Quran hanyalah sebanyak dua puluh lima orang. Itulah yang wajib kita ketahui. Rasul yang terakhir ialah Nabi Muhammad SAW. Semua ajaran yang dibawa itulah yang terbaru dan lengkap. Ini dengan sendirinya memansuhkan ajaran nabi sebelumnya.

Para rasul mesti mempunyai sifat kepimpinan yang berwibawa. ltulah yang wajib kita yakini dan percaya. Rasul mesti mempunyai empat sifat yang utama:

1. Sidiq ertinya benar
2. Amanah ertinya amanah
3. Tabligh ertinya menyampaikan
4. Fathonah ertinya bijaksana.

Empat sitat inilah terletaknya kewibawaan seseorang rasul. Tanpa sifat ini sudah tentu tidak layak dipanggil rasul. Sebab itu kita mesti mempercayai bahawa bagi seorang rasul mustahillah memiliki sifat:

1. Kazib ertinya dusta
2. Khianat ertinya pecah amanah
3. Kitman ertinya menyembunyikan
4. Baladah ertinya lembab (tak cekap).

Beriman dengan rasul ini tidak cukup dengan hanya mengetahui sifat ini saja, yang lebih penting ialah menghormati dan mengamalkan ajarannya. Lebih baik lagi kalau dapat dimiliki sifat-sifat rasul itu.

Selain dari itu kita juga perlu ingat bahawa rasul juga manusia biasa maka haruslah baginya bersifat sebagaimana manusia biasa seperti dia juga makan, minum, tidur baring dan sebagainya.

PERCAYA KEPADA HARI AKHIRAT:

Kita hendaklah percaya bahawa dunia ini akan ada masa berakhirnya. Suatu yang ada awalnya akan ada pula akhirnya seperti setiap benda hidup akan menemui matinya. Kehidupan di dunia dikatakan kehidupan awal dan kita akan bertemu dengan satu lagi kehidupan akhir setelah mati. Itulah yang dinamakan Hari Akhirat. Hari itu akan kekal abadi. Kehidupan di sana adalah sebagai tempat semua manusia menerima balasan yang setimpal dengan apa yang mereka lakukannya di dunia dulu.

PERCAYA KEPADA QADHA DAN QADAR:

Umat Islam mesti meyakini bahawa sebelum mereka wujud di dunia ini Allah telah pun mencatitkan apa saja berhubung dengan makhluknya di dalam catatan yang kemas. Catatan Allah itu menunjukkan bahawa Allah itu Maha Bijak dan Maha Mengetahui sesuatu yang akan berlaku. Perkara ini bukanlah pelik kerana para arkitek bangunan pun boleh mengetahui segala-galanya mengenai bangunan sebelum bangunan itu wujud. Berdasar pengetahuan arkitek itu kemudiannya dia mencatitkan diatas pelan yang lengkap; keluasan, peralatan, keperluan, perbelanjaan dan tarikh bangunan itu disiapkan. Semua itu adalah untuk tindakan jurubina.

Allah tentu lebih hebat dari itu. Allah mencatitkan di Luh Mahfuz; soal rezki dari mana diperolehi, ajalnya bila dan di mana, buruk atau baik masa depannya. Catatan ini untuk tindakan malaikat yang ditugaskan mengikut bidang masing-masing. Inilah yang dinamakan Qadar. Apa yang tercatat itu akan terlaksana apabila sampai masa yang telah ditetapkan di situ. Berlakunya perlaksanaan itu nanti barulah dinamakan Qadha.

Petikan ini dibuat oleh Rahmat Rahman

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

0 Shares
Share via
Copy link
Powered by Social Snap